Friday, April 15, 2011

Permainan tradisional dan Facebook

Assalamualaikum wbt

Dalam dunia yang serba moden ini, banyak urusan telah dipermudahkan banyak urusan menjadi senang tidak kurang juga keburukan yang mendatang. Yang paling menarik tentang dunia moden ni adalah laman sosial facebook. Tak perlu describe lebih semua orang pun tahu tentang laman sosial ni. Facebook banyak memberi pengaruh terutamanya kepada golongan remaja masa kini.


Kalau dulu, kanak-kanak sekolah rendah pandai bermain guli, batu seremban, congkak, konda kondi, main lompat getah, baling selipar, galah panjang dan sebagainya. Namun permainan itu seakan hapus ditelan zaman. Semuanya gara-gara facebook dan laman sosial lain. Bukan lah facebook membawa keburukan sentiasa cuma bagi saya arus permainan traditional ini merupakan sebuah pengalaman hidup yang bermakna. Saya bangga mengatakan saya pandai bermain congkak, batu seremban, dan lain-lain kerana itu merupakan sebuah pengalaman yang saya tak dapat lupakan. Namun zaman sekarang, mereka tidak mempedulikannya.


Zaman kanak-kanak kini berlalu dengan lebih pantas, kerana pengalaman bermain dengan permainan tradisional ini tidak ada dalam ingatan. Meraka cepat menjadi dewasa seiring dengan arus kemodenan. Permainan tradisitonal diganti dengan permainan maya seperti farmville, counter strike, dota dan sebagainya. Sesungguhnya mereka telah hilang satu zaman bermakna dalam hidup.




Bercakap tentang facebook pula, bermacam-macam faedah dan keburukan terdapat di dalamnya bergantung kepada si pengguna. Saya tergelak apabila sahabat saya mengatakan, facebook telah menjadikan dunia ini kurang sejam dari 24 jam kepada 23 jam. Kenapa ye? kerana 1 jam lagi diperuntukkan untuk bermain facebook sahaja. Bila difikirkan semula itulah penangan yang diberikan oleh laman web tersebut.


Bagi saya sebagai seorang pelajar oversea, dengan adanya facebook ini saya rasa lebih dekat dengan keluarga saya, mahupun kenalan saya yang berada di malaysia. Sentiasa ada update yang saya ketahui melalaui facebook. Itulah impak yang terbesar facebook telah beri pada saya. Saya suka melihat profile kawan-kawan saya untuk mengetahui update terkini. Kadang-kadang tergelak, apabila saya melihat status yang disediakan oleh facebook seperti "single, married, divorced,it's complicated, open in relationship dan lain-lain". Pada hemat saya dalam islam hanya single dan married sahaja yang sah untuk dipamerkan yang lain ada yang haram dan ada yang kurang elok untuk diceritakan kepada orang lain.


Dalam konteks dakwah, facebook sangat memberi peranan untuk menyampaikan mesej, nota, mahupun link-link yang baik. Masakan tidak, facebook telah memperamaikan sahabat-sahabat saya membaca mesej dakwah di dalam blog saya. Rating yang tertinggi adalah dari facebook sendiri apabila saya meng"link"kan entry saya di facebook. Ada aktivis dakwah yang hanya menulis note di facebook dan hasilnya ianya dikongsi dengan ramai orang dan mesej dakwah disampaikan dengan cepat dan berkesan. 


Jadi sebagai kesimpulan, arus kemodenan tidak selalunya membawa keburukan. Ia telah banyak memajukan fikiran dan gaya hidup. Semuanya terpulang kepada si pengguna bagaimana untuk mengaplikasikan kemajuan ini dengan baik.






Wassalam


Fikir-fikirkan
Selamat Beramal

Monday, February 21, 2011

Cinta Kepada Allah itu Fitrah Manusia

Assalamualaikum wbt


Saya masih teringat, pada hari lahir sahabat saya, kami menyambutnya dengan meriah walaupun sederhana, menampakkan keakraban kami semua, setiap orang pasti akan melahirkan azam dengan usia yang makin meningkat. Apabila ditanya apakah azam sahabat saya, maka dia menjawab ingin menjadi seorang yang lebih baik. Saya pun terfikir, bagaimanakah yang dinamakan baik tu? apakah ciri-cirinya? dan apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi orang yang baik?






Bagaimanakah kita mahu menjelaskan kebaikan itu? 


Bagi saya, seorang yang baik adalah orang yang berusaha untuk mem"baik"kan orang lain ataupun dengan erti kata lain mereka ingin membawa orang menjadi baik bersama-sama kita. 


Jadi bagaimana caranya? 


Caranya tidak lain dan tidak bukan adalah dengan membawa manusia kembali kepada PenciptaNya dan memandu mereka ke jalan yang benar. Tiada yang Maha Baik selain dari Allah. Maka harus berusaha mendekatinya dengan apa cara sekalipun. 


Di dalam diri manusia ada sebuah aset yang dinamakan "Aset Fitrah". Aset ini adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Ianya datang bukan kehendak manusia tetapi Allah yang meletakkan dalam diri manusia. Antara contoh Aset Fitrah adalah konsep ketuhanan. Setiap manusia pasti mempunyai fitrah untuk bertuhan, tidak kira lah ianya dari agama Islam, Kristian, Hindu, Budha dan lain, mereka yakin adanya suatu kuasa yang lebih besar daripada mereka yang menciptakan alam ini. Mari kita selokar sirah, sebagai contoh Nabi Ibrahim seperti yang termaktub dalam Al-Quran :


" Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar : Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihat dan kaummu dalam kesesatan yang nyata. Dan demikian Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim Kebesaran dan Kekuasaan Kami di langit dan di bumi supaya menjadilah dia dari orang-orang yangn percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka keitka dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang(bersinar-sinar) lalu dia berkata : Inilah tuhanku? Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula : Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang. Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata : inikah Tuhanku? maka setelah bulan itu terbenam berkatalah dia : Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat. (Surah An-An'am, 76-79).


Jadi tanyalah diri sendiri mengapakah Allah merakamkan kisah ini di dalam Al-Quran? bukanlah untuk dijadikan cerita kanak-kanak tetapi untuk dijadikan tauladan kepada kita bahawasanya dalam diri manusia itu ada fitrah untuk mengagungkan Tuhan. Tetapi apabila kita telah mengenal tuhan, tahu kehebatan Allah, tahu Keagungan Allah, kita masih lagi boleh alpa. Seolah-oleh kita telah berlaku zalim pada fitrah untuk bertuhan. 


Ramai yang lupa, mereka ada Allah yang sentiasa bersama mereka. Biarpun seluruh dunia membenci mereka namun Allah itu Maha Menyayangi diri mereka yang sentiasa bersama mereka ketika susah dan senang, biarpun seluas lautan dosa mereka kepada Allah namun Allah itu Maha Pengampun yang sentiasa akan mengampunkan diri mereka.


Selepas mengenal tuhan maka Aset Fitrah seterusnya hadir iaitu inginkan kebaikan. Ya sahabat, fitrah manusia inginkan kebaikan, walau sejahat mana dirinya pasti ada sekelumit kebaikan dalam hatinya. Itulah fitrah yang Allah berikan kepada semua makhluk ciptaanya. 


Dengan kebaikan dalam dirinya, maka dia terpanggil untuk membaikkan orang lain dengan mendekatkan diri kepada Allah atau berdakwah kepada yang Esa. Dia tidak mahu merasai kebaikan seorang diri, dia merasakan syurga itu terlalu besar untuk dirinya seorang, maka tanpa berfikir panjang dia akan bersusah payah untuk menjadikan orang sekelilingnya baik, biarpun terpaksa menempuh dengan pertelingkahan, kutukan, cacian dan sebagainya namun azamnya tidak pernah luntur untuk membaikkan orang lain.


Sebagai konklusinya, orang yang baik adalah orang yang berjuang @ berdakwah kepada Allah, kerana Allah itu Maha Baik dan mendekatkan diri kepada yang baik akan menjadikan kita, orang yang baik.




Carilah Allah..
Kembalilah kepada Allah
Bantulah agama Allah

Nescaya kamu akan termasuk dalam golongan yang "baik" bukan sahaja di mata manusia bahkan di mata yang Maha Pencipta Allah Azzawajalla..





Sempat lagi update blog dalam lab hehe..

Saturday, January 8, 2011

Insaf Sebentar?




Buat sahabat-sahabat yang saya cinta, artikel ini untuk kalian.

“ Akhi, thanks for this entry. Insaf, tapi sekejap saja. Huhu :( “
Benarkah wujud istilah ‘insaf sekejap’?
Ya, ia wujud. Ramai sahabat mengadu, bahawa mereka mengalami sindrom insaf sebentar. Sebagai contoh, insaf selepas mendengar tazkirah tapi 10 minit selepas itu, rasa insaf itu lenyap dan dia kembali kepada keadaan asal.

Saya juga tidak terkecuali.
 
Kisah Hanzalah
Saya teringat sebuah hadis riwayat Muslim, berkenaan dengan seorang sahabat Rasulallah yang bernama Hanzalah bin Ar Rabi’. Beliau telah bertemu dengan Abu Bakar r.a lalu dia berkata, ‘Hanzalah telah munafik!’.  Abu Bakar terkejut lalu bertanya mengapa Hanzalah berkata begitu. Lalu jawab Hanzalah, ” Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w , Baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan Baginda!
Abu Bakar terdiam lalu dia berkata, “Demi Allah, aku juga begitu”. Lalu kedua sahabat itu sepakat mahu bertemu dengan Rasululah untuk mengadu akan masalah ini. Lalu Rasulallah bersabda, “Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)”

Manusia Biasa
Kita manusia biasa. Iman kita yazid wa yanqus. Ia kadangkala naik, dan ia juga kadangkala turun. Dalam mendefinasikan perkataan insaf, saya cenderung untuk menyatakan bahawa insaf itu ialah taubat kerana di dalam sebuah keinsafan, ada suatu elemen yang dipanggil ‘kesal’.
Orang yang insaf ialah orang yang menyesal. Dia menyesal kerana mengerjakan perkara yang tidak sepatutnya dia kerja. Dan kesal ini adalah hakikat taubat !
Maka izinkan saya menggantikan perkataan insaf dengan perkataan taubat.


Taubat Yang Berulang
Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulallah bercerita perihal betapa besar dan luasnya pintu keampunan Allah. Ada seorang hamba, dia melakukan dosa, lalu dia bertaubat. Tidak lama, dia melakukan dosa lagi, dan kembali bertaubat. Berulang-ulang kali. Lalu, sampai bila Allah mahu mengampunkan? Jawabnya ialah sampai hambanya jemu untuk memohon ampun!
Ya, Allah sama sekali tidak jemu untuk memberi ampun, tapi hanya manusialah yang jemu untuk bertaubat dan memohon ampun!


Mahu Kekal
Setiap orang, tempoh ‘sekejap’ mereka adalah berbeza-beza. Ada orang yang ‘insaf sekejap’ nya ialah beberapa hari dan ada juga yang ‘insaf sekejap’ nya cuma beberapa minit. Antara lain adalah kerana faktor persekitaran yang sangat mempengaruhi. Jadi, bagaimana kita mahu memanfaatkan tempoh yang sebentar cuma ini?
Firman Allah dalam surah al-maidah ayat 39-
  
فَمَن تَابَ مِن بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ إِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ  

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 

Setiap taubat harus diikuti dengan pembaikian diri, atau amal soleh.Sebagai contoh, jika kita insaf kerana terbaca satu artikel yang sangat menyentuh hati dalam keadaan kita masih belum melaksanakan solat, maka segera menunaikan solat dan berdoalah supaya Allah mengurniakan kita keinsafan yang berpanjangan. Ya, harus banyak berdoa!


Kesimpulan
Insaf sementara adalah suatu yang sentiasa berlaku dan akan berterusan berlaku kepada kita. Cuma apa yang kita pastikan ialah kita gunakan tempoh yang singkat ini untuk kita lebih mendekati-Nya dan paling penting, kita perlu berusaha supaya ‘sekejap’ ini tidak akan selamanya sekejap. Mudah-mudahan ia akan berpanjangan kelak.

Insyaallah =)

Taken From Lil Qaisara

Sunday, September 19, 2010

Mana Solat Jemaah ni ??

Assalamualaikum Wbt


Usai usrah nazhan pun kembali pulang dari rumah mas'ul nya. Perjalanan yang mengambil masa 3 jam dari Kuala Lumpur ke Melaka tidak mematahkan semangatnya untuk terus menuntut ilmu dalam memantapkan tarbiyah di dalam diri. Disebabkan maghrib semakin mengakhiri waktunya, Nazhan singgah berhenti di stesyen R&R Seremban untuk bersolat.


Dia mengambil wudu' dengan tenang lantas memasuki ruang solat, ramai orang yang sedang bersolat, masing-masing bersama family masing-masing. Al-maklumlah ramai yang pulang beraya, Nazhan melihat sekitar ruang solat tersebut, mencari-cari jemaah yang membuat solat jemaah. Selepas beberapa minit, tiada seorang pun mahu memlukan untuk berjemaah.


Jadi die mengambil inisiatif ingin memulakan namun niatnya terbantut apabila ada seoarang ayah dan seorang anak kecil berusia diantara 4-5 tahun bersolat secara jemaah dahulu, namun begitu kelihatan ayah tersebut hanya ingin solat jemaah dengan anaknya sahaja, masakan tidak beliau mengambil tempat di hujung bucu ruang solat. Tiada tempat lagi untuk nazhan memasukinya kerana disebelahnya ramai  orang yang bersolat sendirian.






Beliau duduk menunggu keluarga tersebut habiskan solat mereka dahulu. Untuk membentuk jemaah yang baru rasanya tidak elok baginya kerana ruang solat tersebut tidaklah besar mana pun, mana mungkin ada dua jemaah di dalamnya, padahal hampir kesemuanya ingin solat secara jama'. Sebelum keluarga tersebut belum sempat habis melakukan solat jemaah, tanpa disedari ada sebuah keluarga lain pula yang membentuk jemaah sendiri dengan anak-anaknya di penjuru belah kanan pula. Sedangkan di bahagian dan tengah masih kosong dan sekiranya jemaah di buat di situ, ramai yang boleh mengikut dari belakang.


Nazhan begitu sedih dan risau, melihat keadaan ini. Mereka seperti mementingkan diri, tidakkah solat jemaah itu untuk semua? Sudah hampir 30 minit dia menunggu untuk kedua-dua keluarga menghabiskan solat jemaah meraka. Akhirnya Nazhan mengambil inisiatif mengisytiharkan kepada sesiapa yang ingin berjemaah boleh pergi kehadapan untuk mengelakkan mereka bersolat sendirian dan berjemaah bersama keluarga mereka sahaja. Akhirnya jemaah yang sempurna boleh dibentuk dan seorang pak cik mengimami jemaah tersebut.


Hampir 1 jam Nazhan berada di ruang solat tersebut hanya semata-mata ingin bersolat jemaah,beliau mampu untuk bersolat jama' bersendirian namun bukanlah itu yang diimpikan, bayangkan untuk mendapatkan 27 darjat itu bukannya susah. Namun dia amat kecewa dengan rakyat Malaysia yang tidak memahami kepentingan solat jemaah sedangkan ramai sangat manusia di situ, ada pula seperti mementingkan diri tidak memberi ruang untuk orang lain mengikuti jemaah nya. Walauapa pun begitu Nazhan bersyukur beliau masih diberi kesempatan untuk bersolat jemaah.


Wassalam..

Monday, September 6, 2010

Kemuliaan Al-Quran



Assalamualaikum


Alhamdulillah, setelah membelek-belek komen di facebook ini, ramai di antara sahabat-sahabatku yang meratapi pemergian ramadhan yang akan melabuhkan tirainya dalam 4 atau 5 hari lagi, satu suasana yang baik di situ, menampakkan perubahan dan impak yang positif di dalam diri. Memang ramadhan memberikan sebuah makna yang mendalam bagi mereka yang mengambil 100 % makna ramadan tersebut.


Di dalam Al-Quran, hanya satu bulan sahaja yang disebut Allah secara direct iaitu lah bulan Ramadan, apa makna di situ? maknanya bulan ini sungguh mulia.Selain itu,  dalam banyak-banyak hari, Allah memuliakan satu hari dengan mengurniakan ganjaran 1000 bulan pahala ibadah itulah Lailatul Qadr. Dalam satu hari itu ada satu waktu dimana manusia akan berasa tenteram dan aman dan berasa dekat dengan Allah, waktu itu adalah waktu malam.




Jadi kesimpulan di sini adalah, sebuah malam yang sangat tenang di mana Allah sangat dekat pada hambanya, pada malam yang menyamai seribu bulan beribadat di dalamnya, dan malam tersebut berada di bulan yang Allah paling sayang sehinggakan disebutkan dalam Al-Quran. Disebabkan kemulian dan keindahan malam tersebut Allah memilih malam itu untuk diturunkan Al-Quran yang penuh hikmah. mengapa? kerana Al-Quran itu juga sangat mulia, di dalamnya terkandung pelbagai ilmu sehinggakan ilmu yang kita tidak sangka pun sudah termaktub dalam Quran berabad lamanya. 


Di sini kita dapat melihat kemulian Al-Quran yang dipelihara oleh Allah sehinggakan pemilhan hari untuk diturunkan sahaja merupakan hari paling baik dan waktu yang paling baik serta bulan yang paling mulia. Itulah mukjizat Al-Quran yang kita selalu dengar, tapi tak nampak,  ada Al-Quran tapi simpan, ada yang buat Al-Quran tu sebagai alat untuk halau jin syaitan supaya tak masuk rumah, ada yang buat Al-Quran tu sebagai perhiasan rumah semata-mata ada lagi yang buat Al-Quran tu barang hantaran perkahwinan semata-mata. Sedangkan Al-Quran jauh lebih memberi kesan yang mendalam bagi sesiapa yang membacanya. 


Syed Qutb memahami dan mensyarahkan setiap ayat Quran baris demi baris dan ayat demi ayat dengan sangat mendalam di dalam kitabnya fi zilalil Quran, menyebabkan dia menangis setiap hari, bersujud tak kesudah kerana makna Al-quran padanya sangat jauh mendalam kepadanya daripada kita yang hanya membaca tapi tak tahu maksud. 


Saya ingin membuka minda kalian akan kebesaran Al-Quran sebagai contoh, tahukah kalian, Al-Quran telah diturunkan sebelum pembukaan kota mekah lagi, Ayat Al-Quran diturunkan dari luh mahfuz ke langit dunia sebelum diturnkan secara wahyu kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat. Dalam Al-Quran banyak menerangkan tentang perang badar, serta beberapa perang lain, yang pada ketika itu perang-perang tersebut tidak meletus lagi. Tapi Allah dah tetapkan dan Maha Mengetahui akan berlakunya peperangan ke atas Nabi Muhammad SAW dan Allah juga mengetahui natijahnya. Jadi itu adalah bukti bahawa Al-Quran ini mukjizat yang besar, selepas beberapa lama barulah turunnya Ayat Quran tentang perang badar dan peperangan lain.


Orang biasa mungkin membaca Quran, kita juga membaca Quran, orang biasa memahami maksud tapi kita mengetahui tafsirannya sekali, orang biasa  merasakan biasa, tetapi kita merasa perubahan, orang biasa berebut-rebut untuk khatam dan kenduri, tetapi kita membaca dengan penuh tartil serta mengharapkan pengharapan dari Allah. Jadi mari kita check diri, adakah kita termasuk di dalam golongan orang biasa? tepuk dada tanya iman


Fikir-fikirkan 
Wassalam.

Tuesday, July 20, 2010

Pengembaraan Sebuah Perjalanan :)


Assalamualaikum Wbt..


Bismillah..Dulu waktu kecik-kecik aku suka dengar nasyid dari Mirwana ni.."Berjalan bermusafirlah melihat kebesaran Tuhan yang diciptakan untuk mereka yang berfikir dan bersyukur di atas nikmat dan kurniaanya nilai harganya iman dan taqwa bagi hamba yang setia". Cukup mendalam maksud tersebut. Bila aku menjadi seorang pengembara baru aku ketahui bahawasanya sesiapa yang benar-benar menghayati pengembaraan tersebut, maka mereka akan mendapat satu impak yang besar dalam diri. Hanya orang yang boleh menggunakan akal dengan baik, melihat dengan berfikir mampu merasakan kebersaran tuhan.



Alhamdulillah..tidak pernah terfikir untuk ku mengembara sejauh ini, pengalaman belajar di UK, negara yang betul-betul berbeza dari tempat asalku, negara yang jauh dari sinar Islam, negara yang bertamdun pada siangnya tetapi bertukar menjadi "binatang" pada malamnya kerana tuntutan nafsu menguasai diri.  Namun begitu, aku betul-betul dapat menghayati kecantikan dan keindahan muka bumi di sana, cukup membuatkanku bertasbih seorang diri. "Maka Nikmat Tuhan Manakah Yang Kamu Dustakan" (Ar Rahman,13).




Dahulu negara ini gah di atas penguasaan Islam, hukum Islam disyariatkan di merata-rata, cinta pada Islam menebal dalam hati bagi rakyat-rakyat di sini. Namun makin lama, mereka hanyut dengan kecintaan dunia, hukum islam semakin jauh, banyak fikirkan duniawi daripadi ukhrawi. Peradaban Islam yang telah wujud selama lebih 800 tahun, jatuh di tangan musuh, umat islam ditipu, dibunuh, dimalukan dan sebagainya. Ya..hancurnya ketemadunan islam disebabkan sikap umat islam itu sendiri, yang tinggal hanyalah binaan seperti Al-hambra, masjid cordova yang bertukar menjadi gereja itulah Andalusia atau lebih dikenali sebagai Spain. Alhamdulillah diri ini berkesempatan melihat senibina agung tersebut, hati ini sangat sedih mengenangkan sejarah kejatuhan islam di negara tersebut. Hanya mampu melihat, tidak mampu berkata tetapi mampu berazam untuk menegakkan islam kembali bukan sahaja di Andalusia ini tetapi di seluruh dunia.




Aku terkadang terfikir, Islam itu indah, Islam itu mengajar umatnya agar berkasih sayang, berakhlak mulia, namum di sini aku nampak bagaimana Islam itu dipraktikkan. Baru ku ketahui mengapa Nabi junjungan kita Muhammad SAW dihantar oleh Allah kepada kaum ini. Baru ku tahu mengapa Nabi digelar sebagai penyelamat umat, baru ku tahu mengapa kaum ini memerlukan nabi untuk kembali ke pangkal jalan. Kerana akhlak mereka sangat teruk suatu ketika dahulu. Akhlak yang jauh dari sifat kemanusiaan. Sikap yang suka menindas, mengambil kesempatan, menjatuhkan orang lain, itulah bangsa arab. Namun begitu Islam datang membawa perubahan, dengan satu sinar iman sahaja, mereka diangkat tinggi menjadi kaum terpilih oleh Allah, walaupun pada ketika dahulu mereka ini kaum yang hina, yang tidak bertamadun namun tidak lagi sekarang. Golongan ulama' dilahirkan di sini. cendiakawan islam terbina disini. peradaban islam gah di sini, semuanya atas nikmat islam. Tapi tidak dapat dinafikan sikap mereka ada yang seperti dahulu.huhu..Di manakah mereka? Di Bumi Mesir...




Aku berjalan, mereka juga berjalan, tetapi aku berfikir, sedangkan mereka berseronok semata-mata, bercuti untuk mencuci mata, jadi kepada mereka yang berkesempatan untuk mengembara, bukalah matamu seluas-luasnya, bukalah hatimu selapang-lapangnya, hayati keindahan dan keunikan cipataan Allah, kelak kamu akan ketahui, kekuasaan Allah itu di mana-mana. Semoga imanmu bertambah..


P/s : teringin nak pergi jepun, niat ada tapi hajat tak kesampaian..mengapa nak pergi jepun? huhu..adalah.. :)


Fikir-fikirkan
Wassalam

Wednesday, June 30, 2010

Oh Mesir Oh Mesir Part 1 :)





Assalamualaikum Wbt



Alhamdulillah genap seminggu berada di Mesir bumi barakah, yang diberkati. Kalau borak dengan orang arab mesir kat sini, dorang bangga skit dengan negara dorang ni sebab hanya Negara Mesir sahaja yang disebut dalam Al-Quran surah Yusuf ayat 99 yang berbunyi "Masuklah kamu ke Mesir InsyaAllah kamu akan berada di dalam aman". Kat Malaysia ni ada jaminan selamat tak? huhu...


Niat di hati tak nak compare, tapi susasana, persekitaran, pergaulan, sahsiah dan sebagainya di antara Sheffield, Malaysia dan Mesir jauh bezanya. Masing-masing ada kelebihan dan keburukan, tapi yang menariknya Malaysia sentiasa berada di tengah di antara Mesir dan Sheffield. Oh Malaysiaku ( Rindu dah Malaysia ) . Kalau kita lihat dari segi duniawi or kemodenan, for sure Sheffield lebih moden, bersih, sejuk mata memandang. manakala Mesir hurm..bandar behabuk, kebanyakkan tempat macam tong sampah, jalan raya bising kalau sehari tak bunyi "hon" tak sah macam-macam lagi lah..Malaysia?? tetap cantik di hati, sebab ada familyku tercinta :).


Bila bandingkan dari segi ukhrawi, keislaman Mesir lah tempatnye, dengan laungan azan di merata-rata, masjid berada di mana-mana, kehidupan islam nampak di setiap tempat, agama dipegang utuh, tarbiyah di perjuang kuat dan sebagainya menjadikan dunia ini hanya kehidupan yang sementara, biarlah bersusah di dunia ini asalkan syurga menjadi taruhan di akhirat nanti. Di Sheffiled, walaupun ramai umat islam di sana, tetapi orang bukan islam lebih ramai menyebabkan dunia menjadi pujaan, dunia menjadi tempat untuk berhibur dunia dunia dunia..hurm..Malaysia ?? tetap cantik di hati sebab ada familyku tercinta :) Tidak kira di mana kita berada, pastikan agama menjadi pegangan. Bukan mudah untuk menjadi muslim, bukan mudah untuk mendapatkan syurga, hanya orang-orang yang layak yang berhaq untuk mendapatkan syurga. 


Cakap pasal Mesir, memang banyak benda nak cerita, lawak pun ada, kadang-kadang banyak tergelak sendiri tengok gelagat pak2 arab ni hehe.. kat sini saya dah tetapkan beberapa target yang perlu dicapai sebelum pulang salah satunye adalah lintas jalan raya dengan bergaya tanpa segan silu. Jangan cakap korang pandai lintas jalan kalau tak lintas jalan kat Mesir. kat sini takde nye nak manja ada jejantas, takpun ada pedestrian mcm kat Sheffield tu.. kat sini pakai redah je. yang peliknya jarang la pulak orang kene langgar, terbaik tul mesir ni hehe..



Yang paling best, setiap tempat kat mesir ni, mesti teringat kisah "Ketika Cinta Bertasbih", pelik tapi benar. Tengok university Azhar tiba-tiba muncul lagu melly goeslow bertuturlah cinta, mengucap satu nama, seindah gorasan sabdaMu dalam kitabku, cinta yang bertasbih mengutus hati ini, kusandarkan hidup dan matiku padaMu..Sampai tengok Masjid Azhar pun tiba-tiba keluar lirik ni..ketika cinta bertasbih nadiku berdenyut merdu, kembang kempis dadaku merangkal butir cinta, garis tangan tergambar tak bisa aku menentang, sujud syukur padaMu atas segala cinta..ceewah poyo gile ko ni saufi.. :p . Bila naik bas je berharap ada orang panggil "lau samah anta malayzi" hehe..takpe abaikan suma tu..sebab saya ni suka berangan huhu..

Bila datang Mesir, the first thing I learned was how to manage your life. Di sini jauh berbeza dengan keadaan di Malaysia mahupun di Sheffield. kehidupan itu perjungan, dan perjuangan itu menentukan kedudukan kita di akhirat nanti. Tidak hairan, orang-orang arab ini sangat kuat, sangat bertenaga, sangat hebat dari sudut lahiriah dan batiniah kerana kehidupan dan perjuangan mereka yang menyebabkan mereka menjadi sebegitu. Mereka berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik untuk survival. Hidup ni bukannya sentiasa indah, bukan juga seperti filem "ketika cinta bertasbih " di akhiri dengan happy ending, semuanya dapat, semunya gembira dihujungnya, kalah dalam pertarungan survival maka selamat tinggal dunia.


Betullah apa yang ku dengar selama ini, keindahan yang Allah berikan kadang-kadang bertujuan untuk menyesatkan mereka lebih jauh, manakala kesusahan yang melanda mendekatkan mereka dengan Sang Pencipta. Maka bersyukurlah kepada golongan yang susah. Allah sayang lebih :) 

Bersambung...


Thursday, June 24, 2010

Antara UK Dan Mesir :)

Assalamualaikum Wbt


Bumi Uk, bumi yang penuh ketengangan, suasana yang cantik, aman damai, cuaca yang sentiasa dingin seperti berada di dalam bilik ber air cond. Persekitaran yang hijau, sejuk mata memandang. Taman yang indah dihiasi dengan bunga-bungaan cantik yang berwarna warni. Namun... hatiku tetap tidak aman melihat cara hidup mereka yang jauh dengan cara hidup islam. Pemakaian yang semakin terbuka akhir-akhir ini membuatkan aku letih. Pergaulan yang melampaui batas memeningkan kepalaku. Tetapi aku tetap bersyukur kerana masih lagi berada di persekitaran yang baik di bumi UK tersebut.




Bumi Mesir, bumi yang panas, yang payah, yang penuh dengan pancaroba. Cuaca yang panas membuatkan aku terguling-guling ketika tidur. Persekitaran yang berdebu jauh berbeza dgn persekitaranku sebelum ini. Sampah sarap bersepah-sepah. Sentiasa letih dan berpeluh. Orangnya yang suka mengambil kesempatan. Sistem yang susah dan sebagainya. Namun...aku masih boleh bergembira, Masjid dapat dilihat merata-rata. Azan dapat dilaungkan dengan megahnya dan saling sambung menyambung. Pembacaan Quran dilakukan di mana-mana.  Hatiku kembali basah ketika berada di sini. Aku menjadi mudah untuk beramal. Imanku kembali bersuara. Jiwaku kembali berbicara. Resahku hilang. Walaupun hidup di sini tidak seindah di UK, namun aku tetap mampu tersenyum kerana aku mampu belajar untuk bermujahadah. Keselesaan yang melampau di UK menyebabkan aku jauh dari yang Maha Pencipta. 






Setelah seminggu exam berlalu, keadaan di Sheffield begitu lengang sekali, Menjadi lumrah pelajar Malaysia di sini untuk pulang bercuti pada setiap tahun, duit bukan menjadi masalah bagi pelajar di sini. Jadi tidak hairanlah pelajar-pelajar di sini hidup dalam keadaan mewah .Hanya segelintir pelajar Malaysia yang masih sanggup untuk mendaki bukit bagi menunaikan solat fardhu yang terbaik iaitu solat secara berjemaah di Masjid. Ya..di Sheffiled hanya orang yang layak sahaja yang dipilih Allah untuk ke Masjid. Manakan tidak, Masjid yang terletak di atas bukit memerlukan pengorbanan untuk dijejaki. Mengambil masa selama lebih kurang 20 minit (jika berjalan biasa) untuk ke sana menyebabkan hanya sebahagian manusia sahaja mampu ke sana.






Berbeza pula di Mesir, walaupun telah beberapa hari exam berlalu, namun suasana di sini semakin meriah, lebih banyak aktiviti dijalankan ketika waktu cuti. Kerinduan di tanah air ditolak ketepi. Penerusan dakwah dilakukan malah diperbanyakkan. Ukhwah dibina lebih utuh. Walaupun hidup tidaklah seindah dan semewah di UK namun itu bukan penghalang bagi mereka membelanjakan duit mereka ke jalan dakwah.






Terkadang aku terfikir, sekiranya Allah menukar cuaca dan persekitaran di Mesir ini menjadi UK dan di UK menjadi mesir kan lebih elok. Persekitaran yang cantik menunjukkan Islam itu cantik. Cuaca yang baik membuatkan Islam mudah diamalkan. Namun sangkaanku meleset sama sekali apabila aku ditegur oleh sahabatku di sini. Sekiranya Allah menukar UK kepada Mesir dan sebaliknya, maka Islam akan lebih mudah jatuh dan hanyut dalam arus duniawi. Islam akan tenggelam habis dengan kemodenan. Dan yang paling teruk adalah tiada Islam lagi di Dunia ini. Jadi bersyukurlah kepada Allah yang menjadikan Islam bertapak di Bumi yang panas dan susah ini. Kerana dengan kesusahan inilah, umat Islam dapat bangkit, lebih kuat dan dapat beramal dengan lebih banyak untuk mendapatkan syurga yang dijanjikan nikmat terbaik yang tidak tercapai oleh akal manusia.


Wallahulam...

Saturday, June 19, 2010

Hidayah Allah Milik Sesiapa Sahaja

Assalamualaikum Wbt


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Tiada kata secantik bahasa, tiada cinta selain cintaNa, Tiada Pujiaan selayak denganNya. Bersyukur di atas segalanya. Tiada tempat untuk mengadu selain Allah, Allah know better




Alhamdulillah sebesar-besar nikmat adalah dua nikmat yang utama iaitu nikmat ISLAM dan IMAN, baru sahaja sebentar tadi seorang mukhallaf yang bernama Pete mengucapkan syahadah. Hatiku menjadi berdebar mendengar lafaz syahadah yang diucap satu persatu. Lalu aku refleksi diriku semula adakah aku menjadi sebagaimana ungkapan syahadah tersebut. "Tiada tuhan yang berhaq disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad Itu Persuruh Allah" lafaz yang mantap dan jitu. Adakah aku betul-betul memperlakukan apa yang diperkatakan. Sekiranya sudah mantap amalanku pastinya aku tidak melakukan dosa apabila mengingatkan syahadahku, lafaz janji ku pada Allah sebagai umat islam.


Hidayah datang dari perlbagai cara, ada yang melalui kesusahan ada juga yang melalui kesenangan. Orang-orang seperti aku yang mudah mendapat cahaya Islam haruslah bersyukur kerana Allah memilih kita untuk menjadi umat islam tidak seperti manusia lain. Ada yang harus bersusah payah untuk menjadi muslim, terpaksa mengkaji bertahun-tahun, meninggalkan kenikmatan dunia yang pernah dirasai, berkorban untuk kepentingan diri, malah ada yang perlu menentang keluarga untuk mendapatkan Islam. Maka beruntunglah orang-orang tersebut kerana mendapat nikmat Islam sedemikian rupa


Teringat padaku kisah Al-Kiflu. Al-kiflu merupakan seorang pemuda berasal dari bani Israel, Beliau ini sangat kuat membuat maksiat dan dosa, jangan tanya apa dosa yang dia buat, tapi tanya dia apa benda yang dia tak buat, semua jenis dosa dari berzina, mencuri, minum arak, bunuh dan semua jenis dosa besar yang dinyatakan dalam Al-quran semua dia buat. Hari-hari dia ni nak lawan tuhan, kalau sehari dia tak cabar tuhan tak sah. Suatu hari datang seorang wanita yang baik tetapi miskin meminta sedekah dan wanita tersebut pergi kepada Al-Kiflu kerana pada ketika itu semua orang tahu bahawa Al-kiflu ini orang yang paling kaya.


Setibanya wanita itu kepada Al-kiflu maka memintalah wanita tersebut duit lalu Al-kiflu berkata ,aku boleh memberikanmu wang 60 dinar ini tetapi sebagai gantinya kamu haruslah berzina dengan aku dahulu. Wanita tersebut serba salah, tetapi beliau sangat memerlukan wang tersebut, ada setengah pendapat mengatakan bapa wanita tersebut sakit dan sangat memerlukan duit untuk kos perubatan. Jadi dalam keadaan hati yang dukacita dan terdesak wanita tersebut terpaksa menerima syarat Al-Kiflu. Setelah duit telah diberi maka Al-kiflu itu berhajat pada perkara yang dijanjikan.


Setelah wanita itu dibaringkan, dan lelaki itu telah berada ditempat yang sepatutnya seorang suami berada pada seorang isteri (dah nak berzina dah ni) lalu menggeletar wanita tersebut dan menangis. Lalu Alkiflu bertanya kepada wanita tersebut kenapa  kau menangis dan sejuk tubuh badanmu ini, adakah aku yang memaksa kau untuk berzina denganku, bukankah tadi kita dah bersetuju.


Maka wanita itu berkata, aku tidak menangis dan takut kepada kau tetapi aku menangis kerana aku takut Allah, belum pernah aku buat kerja jahat ini sekali-kali dalam hidup aku. Sekiranya bukan kerana kepaanku, aku takkan buat perkara ini. tidak pernah terfikir untuk membuat kerja ini. Kalau bukan kerana aku perlukan duit aku takkan melampaui batas seperti ini. Maka Al-kiflu pun berkata, kau seorang wanita yang miskin dan lemah tetapi takut akan tuhan,  aku ini pula lelaki yang kaya dan kuat tetapi  tidak sedikit pun takut pada tuhan, walhal aku yang sepatutnya takut pada tuhan lebih darimu takut pada tuhan. Oleh kerana kau lebih takut tuhan lebih daripadaku aku tidak mengkehendakimu lagi. pergilah dikau dengan duit yang kuberi itu. 



Lalu penyesalan mencurah-curah turun dalam hati Al-kiflu, menangis Al-kiflu itu lalu berjanji pada dirinya, demi Allah tidak akan aku melakukan zina dengan sesiapa lagi selepas ini dan aku akan tinggalkan segala dosa. Lalu Allah menerima azam Al-kiflu itu sebagai taubat, maka Allah mengampunkan segala dosanya kerana Allah Maha mengetahui sejauh mana keikhlasan hatinya. Ditakdirkan Allah dia meninggal malam itu juga semasa tidur. Maka beruntunglah orang yang bertaubat dan menerima hidayah dari Allah.


Hidayah itu milik Allah, jika sekali dapat genggamlah ia jangan sampai ia terlepas, kerana bukan mudah untuk mendapatkan hidayah. Sesungguhnya berbahagia kepada manusia yang dipilih untuk diberikan hidyah oleh Allah. 


Oleh itu banyakkan berdoa agar ditetapkan iman, ramai yang islam pada mulanya tetapi mati dalam kekufuran, ramai yang islam hanya pada nama, solat diabaikan segala yang disuruh Allah diketepikan, Maka hidayah Allah telah lari jauh dari orang-orang tersebut. Berdoalah kita agar terus istiqamah mendapat hidayah Allah di dunia hingga Akhirat


Fikir-fikirkan 
Wassalam

Monday, May 24, 2010

Marilah Kita Jalinkan Kasih Sayang Sesama Kita :)

Assalamulaikum Wbt..


Bercakap pasal kasih sayang..semuanya akan tersenyum lebar..bercakap lagi tentang kasih sayang semua hati berbunga, mana tidaknya, kasih sayang itu kurniaan besar dari Allah. Bayangkanlah hilangnya kasih sayang antara manusia, ataupun tidak pernah wujud istilah kasih sayang di dunia maka bosanlah dunia dan malaplah dunia, betapa Allah Mengetahui keperluan manusia.






Banyaklah ayat-ayat Al-Quran mahupun hadis menyebut tentang kasih sayang ini, tidak perlulah saya highlight kan disini semuanya sudah maklum. Kasih sayang ini bukan tertumpu pada kekasih semata-mata, tetapi kasih sayang membawa makna yang luas, kasih kepada ibu bapa, kepada anak isteri , adik beradik hatta haiwan dan tumbuhan pun dinamakan kasih sayang. Cuma caranya yang agak berbeza..


Berhati-hati bermain dengan kasih sayang, nikmat yang Allah berikan ini bukan untuk disalahgunakan, tetapi untuk dinikmati dengan jalan yang terbaik sehingga mampu mewujudkan sebuah keluarga bahagia. Kasih sayang mampu mengubah dunia, mampu mengubah perasaan dan juga mampu mengubah persekitaran. Sekali lagi nilai kasih sayang ini sangat besar.


Ingatlah wahai sahabtku sekalian, kasih sayang ini lah juga menjadi perosak kepada manusia terutamanya remaja-remaja sekarang. Tidakkah kita lupa bahawa ada syaitan sentiasa bersama kita, nafsu sentiasa menemani kita, maka kasih sayang ini adalah point utama untuk menyesatkan manusia, jadi kesannya adalah hurm...tau-tau jelah semakin meningkat masalah sosial.






Saya ingin fokuskan kepada kasih sayang sesama manusia (pakwe makwe la kot), kasih sayang ini dilihat remeh, biasalah bila kurang kefahaman agama maka kasih sayang ini dilihat persoalan hati semata-mata. Sebenarnya kasih sayang ini jauh lebih mendalam maksudnya, kasih sayang ini bukan melibatkan dua pihak sahaja tetapi melibatkan pelbagai pihak dan jangan lupa melibatkan Allah. Apabila berkasih sayang pernah kah kita terfikir, bahawa "kekasih" kita itu mempunyai ibu bapa yang perlu untuk diminta kebenaran mereka terlebih dahulu. Sebagai analogi, saya suka melihat baju sahabat saya sangat cantik dan menawan, tetapi saya perlu meminta kebenaran beliau dahulu untuk memilikinya kerana baju tersebut milik sahabat saya. Jadi adakah adil bagi saya mengambil baju kawan saya tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu, pasti tidak..saya perlu meminta kebenaran dahulu sebelum memilikinya. Jadi apabila kita berfikir dgn cara ini, maka kasih sayang itu lebih diberkati, lebih difahami dan lebih terjaga kerana ibu bapa sudah meredhainya. 


Telah Kupandang Insan Yang Seramai Ini.Maka Aku Saksikanlah Bahawa Setiap Mereka Mempunyai Kekasih Dan Kecintaan Di Hati Mereka,Sebahagian Drpd Kekasih Itu Hanya Mendampingi Ketika Waktu Senang Sahaja,Dan Sebahagian Lagi Hanya Sampai Ke Tepi Liang Kubur Sahaja,Setelah Kesemuanya Pulang Dan Meninggalkannya Seorang Diri. Tak Seorang Pun Turut Masuk Ke Dalam Kubur Untuk Menghiburkannya,Yang Kemudian Kudapati Selain AMAL YANG SOLEH,Sebab Itu Kuambil Ia Menjadi Kekasihku,Supaya Ia Kekal Menjadi Pelita Di Dalam Kuburku,Menghiburkan Dan Tidak Meninggalkanku Seorang Diri Di Dalam Kubur Nanti..... ~IMAM GHAZALI~


Kasih sayang kapada Allah adalah kasih sayang ultimate yang patut kita berikan, saya selalu terfikir, layakkah kita berkasih sayang kepada manusia ciptaan Allah sebelum kita mencintai Penciptanya. Mudah untuk diungkap susah untuk diuraikan, sebab kasih sayang Allah ini ditunjukkan pelbagai cara, kadang-kadang selepas musibah atau kadang-kadang datang tanpa disedari. Tetapi ingatlah walaubagaimanapun kita tetap Allah sayang, cuma kita sendiri tidak sayang Allah sebagaimana Allah menyayangi kita. Buktinya?? senang..kewujudan kita di dunia ini bukti hakiki bahawasanya Allah sayang pada kita, cube kita bayangkan lagi (banyak betul bayang ye..huhu..) dalam banyak-banyak sperma dikeluarkan oleh benih ayat kita, kita terpilih untuk diterima oleh ovum ibu kita, dan lahirlah kita didunia. Sekiranya Allah tidak sayang pada kita, Allah tidak akan wujudkan kita dan tidak memberikan kita kejayaan dalam menembus ovum ibu kita. Tidakkah kita berasa beruntung, itu semuanya kerja Allah.






Huhu..tiba-tiba bercakap tentang kasih sayang..hati berbunga-bunga plak, banyak idea keluar padahal ada lagi 4 paper untuk diduduki..doakan saya..insyAllah saya akan mendoakan anda semula..sebelum itu terimalah kasih sayang dari saya melalui video ini..





Jadi fikir-fikirkanlah..
Wassalam..